2,000 Suku Mandailing Berhimpun Sempena Hari Raya Aidilfitri
JELEBU 18 Sept. - Lebih 2,000 orang berketurunan suku kaum Mandailing dari seluruh negara berkumpul memeriahkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Perhimpunan Anak-Anak Mandailing Malaysia di Kampung Kerangai di sini semalam.
Program julung kali anjuran Persatuan Halak Mandailing Malaysia itu dihadiri oleh pelbagai lapisan umur suku kaum tersebut yang datang dari seluruh tanah air, kebanyakannya dari negeri ini, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur selain sebahagian dari Kedah, Pahang, Johor serta Melaka.
Sambutan turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa tetamu kenamaan seperti Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Abdul Razak Mansor dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kampung Baru dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Siow Chen Pin yang juga ADUN Chennah dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias.
Hadir sama memeriahkan majlis ialah Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Baharudin Jali serta Datuk Tamimi Siregar selaku Penasihat Persatuan Halak Mandailing Malaysia.
Kemuncak perhimpunan tersebut menyaksikan upacara adat menyarung selimut kepada tetamu kehormat sebagai simbolik bagi mengucapkan penghargaan, sejahtera dan syukur di atas kehadiran mereka ke majlis tersebut.
Presiden persatuan berkenaan, Ramli Abdul Karim Hasibuan ketika berucap berkata, beliau amat bersyukur serta berterima kasih di atas sokongan dan kehadiran anak-anak Mandailing seluruh negara yang sanggup datang dari jauh bagi menjayakan perhimpunan tersebut.
''Objektif penganjuran majlis ini adalah bagi mengumpul serta mengeratkan silaturahim antara anak-anak Mandailing di seluruh negara.
''Sokongan padu dan kehadiran saudara saudari ke majlis ini bertepatan dengan slogan persatuan untuk 'Mempertemukan Yang Berpecah, Menghimpunkan Yang Terpisah," katanya.
Dalam pada itu, Ramli turut memberitahu, satu lagi perhimpunan peringkat kebangsaan bagi zon utara akan diadakan di Ayer Tawar, Perak pada 24 September ini.