"KALAU awal-awal lagi Sungai Lumpur dipanggil Sungai Gombak, mungkin nama ibu negara Malaysia ialah Kuala Gombak dan bukannya Kuala Lumpur.
"Terdapat bukti yang menunjukkan sungai yang mengalir dan bertemu dengan Sungai Klang pada 1872 telah dipanggil Sungai Lumpur. Namun, tidak dapat dibuktikan siapa yang memberi nama tempat-tempat di sekitar Selangor."
Itu jawapan Pakar Sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim kepada wartawan S2apabila diminta menceritakan tentang titik permulaan ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur.
Dalam Bahasa Melayu, katanya, telah menerangkan Kuala Lumpur bermaksud kawasan muara Sungai Lumpur.
"Tidak tahu mengapa dan bila, sekitar 1875 nama Sungai Lumpur telah bertukar kepada Sungai Gombak," katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.
Cerita Kay Kim, sejarah moden Kuala Lumpur bermula pada pertengahan abad ke-19 apabila Raja Abdullah dilantik sultan sebagai ketua kawasan Klang yang ketika itu merupakan sebuah negeri.
Pada masa itu, katanya, tiada kereta api mahupun jalan berbatu.
Maka sungai memainkan peranan penting kepada masyarakat setempat untuk menguruskan kehidupan seharian.
Di sekitar Sungai Gombak dan Sungai Klang pada ketika itu sudah terdapat penempatan orang Mandailing yang berasal dari Sumatera, Indonesia.
"Kampung Rawa dan Jawa juga adalah antara perkampungan terawal di sekitar sungai tersebut.