SEBELUM kedatangan Yap Ah Loy, pinggiran muara Sungai Gombak dan Sungai Klang telah didiami orang Mandailing, Rawa, Minangkabau, Bugis dan Jawa.
Kuala Sungai Gombak dan Sungai Klang yang pada awalnya hanya digunakan untuk pertanian sara diri dan laluan pengangkutan, akhirnya berubah wajah apabila aktiviti perlombongan bijih timah mula dijalankan sekitar tahun 1850-an.
Penemuan itu secara tidak langsung membawa lebih ramai kemasukan orang Cina dan pedagang-pedagang sehingga Kuala Lumpur kemudian menjadi ibu negeri Selangor.
Atas nama pembangunan juga, orang Melayu yang merupakan penduduk asal di sekitar muara Sungai Gombak dan Sungai Klang hampir pupus.
Tidak mahu ia terjadi, pentadbiran Inggeris telah menubuhkan Lembaga Penempatan Tanah Pertanian Melayu atau Malay Agriculture Settlement (MAS) di utara Kuala Lumpur.
Tujuh buah kampung iaitu Kampung Masjid, Kampung Periuk, Kampung Atas A, Kampung Atas B, Kampung Pindah, Kampung Paya dan Kampung Hujung Pasir telah disatukan membentuk kawasan penempatan orang Melayu yang dikenali sebagai Kampung Baru.
Hari ini, setelah kuala Sungai Gombak dan Sungai Klang berkembang pesat, jasa orang Melayu yang terlebih dahulu membangunkan Kuala Lumpur semakin dilupakan.
Wartawan S2, SITI NURAZLINA JAMALUDIN dan jurugambar AHMAD ZAKKI JILAN serta WAN NAQIUDDIN WAN YAACOB menjejaki waris penduduk asal Kuala Lumpur untuk bercerita sejarah pembukaan ibu negara Malaysia ini.
Di Sebalik Nama Raja Alang
Raja Anuar Raja Mohamed bergambar di hadapan papan tanda Jalan Raja Alang yang mengambil sempena nama nendanya, baru-baru ini.
SETIAP kali tiba Ramadan, Jalan Raja Alang di Kuala Lumpur akan menjadi sebutan ramai. Populariti bazar Ramadan di sepanjang jalan tersebut adalah luar biasa malah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri tidak ketinggalan membeli juadah di situ.
Walaupun nama Raja Alang sering meniti di bibir masyarakat, namun ramai tidak mengenali siapa pemilik nama tersebut yang diabadikan pada jalan itu, yang mana sebelum merdeka ia dikenali sebagai Perkins Road.
Sejarahnya, jalan itu dinamakan semula oleh anak Raja Alang, Datuk Raja Mohamed yang juga pembesar dan Ahli Dewan Diraja Selangor bergelar Engku Orang Kaya Maha Bijaya Kuala Lumpur pada 1950-an. Raja Mohamed diberi penghormatan menamakan jalan itu atas jasa-jasanya dalam memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.
Beliau tidak menamakan jalan itu dengan namanya sendiri kerana tidak mahu anak-anaknya berperasaan riak.
Berbalik kepada Raja Alang, biarpun tidak banyak diketahui tentang Raja Alang, namun apa yang pasti beliau antara orang Melayu terkaya di Selangor pada 1880-an.
Selain memiliki Estet Raja Alang, keturunan Raja Mandailing itu membina dan mewakafkan sebuah masjid yang juga mengambil sempena namanya di Beranang Hilir, Hulu Langat, Selangor.
Wartawan S2, SITI NURAZLINA JAMALUDIN bersama jurugambar, WAHIDIN SALIM, MUHAMAD IQBAL ROSLI dan SAFRIZAL AZMI menemui waris-waris Raja Alang Raja Berayun bagi berkongsi rahsia di sebalik namanya yang popular itu.